UMAI
Umai merupakan sejenis makanan laut tradisional masyarakat Melanau di Sarawak. Bahagian Mukah sinonim dengan gelaran Bahagian Umai. Umai merupakan ikan mentah yang dihiris halus dan digaul dengan bahan lain seperti bawang, cili dan limau. Umai ini biasanya akan dimakan bersama Sago iaitu sejenis makanan yang diperbuat dari pohon pokok Rumbia.
LINUT
Selain umai, linut juga merupakan makanan tradisional penduduk Daerah Kecil Oya terutamanya penduduk kaum Melanau. Linut ini diperbuat dari tepung pohon pokok Rumbia dan biasanya dimakan dengan sambal belacan dan sayur pucuk paku.
SIET @ ULAT MULONG
Ulat mulong yang dipanggil si'et dalam bahasa Melanau atau tinduh dalam bahasa Iban.Ia sebenarnya adalah larva kumbang yang bersarang di dalam batang pokok rumbia yang sudah reput.Ulat mulong terutama yang gemuk berlemak boleh dinikmati menerusi pelbagai jenis masakan sama ada digoreng bersama kicap, disalai, dibuat sup ataupun dijadikan sate.Bagi penggemar tegar pula, ada yang memakan ulat mulong secara hidup-hidup yang dicicah dengan garam halus atau dimakan bersama sagu.Ia diminati ramai, baik di kalangan masyarakat bumiputera, Cina mahupun pelancong asing kerana rasanya yang lemak.Walaupun tiada kajian saintifik, ulat mulong dikatakan mempunyai beberapa khasiat termasuk dapat mengurangkan masalah kegemukan manakala minyaknya pula berkhasiat untuk melebatkan rambut.Kegilaan terhadap ulat mulong menjadikannya sebagai makanan yang mempunyai nilai komersial sekali gus menjadi sumber pendapatan lumayan kepada pembekal dan penjualnya.