Jerunai atau Kelideng ialah keranda bagi golongan bangsawan kaum Melanau. Jika berkunjung ke pekan Dalat, terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Mukah, pelawat akan dapat menyaksikan Jerunai yang terpacak di tengah-tengah Taman Poket. Jerunai merupakan satu tiang bulat sebesar satu pemeluk dan diperbuat daripada kayu belian agar tahan lama. Pada batang Jerunai diukir dengan bermacam motif dan lazimnya ia didirikan di tebing-tebing sungai. Bagi mengiringi roh bangsawan Melanau yang telah mati, seorang gadis daripada golongan hamba atau 'dipen' dalam bahasa Melanau akan dikorbankan. Si gadis tersebut diikat di atas puncak Jerunai tanpa makanan dan minuman. Mereka percaya apabila si gadis mati kebuluran, rohnya akan menjaga tuan iaitu golongan bangsawan yang disemadikan di dalam lubang Jerunai. 

Menurut sejarah, mayat golongan bangsawan kaum Melanau tidak dikuburkan di dalam tanah sebelum kedatangan Islam beratus-ratus tahun dahulu. Sebaliknya mayat mereka disimpan di dalam keranda sehingga ia mereput secara semula jadi meninggalkan tulang-temulang. Kemudian, tulang si mati dipindahkan ke dalam lubang di bahagian tengah Jerunai (keranda) setinggi kira-kira 10 meter.

Mengikut cerita lama masyarakat Melanau, mereka yang menyusuri sungai akan memercikkan air untuk diminum oleh si gadis yang merintih meminta dilepaskan dari puncak Jerunai. Itu kisah yang disampaikan dari generasi lama kepada generasi muda dan buktinya masih ada sehingga kini.

Projek Jabatan Landskap Negara serta Majlis Daerah Dalat dan Mukah itu turut mempamerkan ciri-ciri kaum Melanau. Antaranya, bumbung tempat rehat yang menyerupai bentuk topi terendak yang selalu digunakan oleh kaum Melanau. 

Tetapi apa yang sebenar cuba ditonjolkan di taman yang terletak berhampiran Sungai Oya itu ialah keagungan warisan silam Melanau iaitu Jerunai. Papan tanda yang terdapat berhampiran Jerunai itu menyebut bahawa keranda itu sudah menjangkau lebih seratus tahun. Ia merupakan satu-satunya Jerunai yang masih wujud di daerah Dalat pada masa ini.

Sebelum Taman Poket dibina, ia diletakkan di hadapan Pejabat Daerah Dalat dan mengikut cerita penduduk setempat, Jerunai itu berasal dari Kampung Seberang Tengah, Dalat.

          

 sumber;UM